Sunday, May 2, 2010

Ulamak Kelate - MUFTI HAJI WAN MUSA (1875 – 1939)


Mufti Haji Wan Musa (1875-1939)Ahli tasawuf berpendirian tegas. Bergiat sezaman dengan Tok Selehong, Haji Che Leh Kg. Laut, Tengku Mahmud Zuhdi (Syeikhul Islam Selangor). Putera kedua Tuan Tabal dan adik kandung Mufti Haji Wan Muhammad, juga abang kepada Haji Nik Abdullah Khatib. Nama penuhnya ialah Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad. Bapanya, Haji Abdul Samad bin Mohd. Saleh al-Kalantani (lebih masyhur dengan gelaran Tuan Tabal) ialah penyebar perintis tarekat Ahmadiyah di rantau ini, juga tergolong ulama pengarang yang banyak menulis kitab Jawi – terpentingnya Minhat al-Qarib (1883).

Haji Wan Musa adalah seorang rakan seperguruan Tok Kenali, terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani tetapi kontroversi. Namun, beliau terpilih dan ditawarkan jawatan Mufti Kerajaan Kelantan selepas pengunduran Mufti Haji Wan Ishak pada awal 1909.

Sikapnya yang tegas serta pandangan-pandangannya yang cenderong kepada reformasi telah menyeret beliau ke kanchah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh “Kaum Tua” seperti Haji Omar Sungai Keladi, Haji Ibrahim Tok Raja, Haji Ismail, Haji Ismail Kemuning dan Haji Ahmad Abdul Mannan. Di luar Kelantan pula, beliau pernah berpolemik dengan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani – penulis Tazkiyat al-Anzar (1920) yang menghujah balas pendapat Haji Wan Musa.

Antara persoalan kontroversi yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, hal muqaranah sembahyang, talqin, kain telekung sembahyang, talfiq mazhab, pemindahan harta wakaf/pusaka dan perbahasan jilatan anjing. Keyakinannya kepada pendapat-pendapat yang pernah diluahkannya serta pertelingkahannya yang lama dengan tokoh-tokoh “Kaum Tua” menyebabkan beliau melepaskan jawatan Mufti pada pertengahan 1916.

Sebagai tokoh berwibawa, halaqat pengajian kitab di suraunya di Jalan Merbau, Kota Bharu berjaya melahirkan ramai pendakwah pelapis yang mampu mengajar baik di sekolah pondok mahupun di sekolah moden. Mereka termasuk Hj. Saad Kangkong, Pak Su Wan Adam Kg. Laut, Hj. Mohd. Zain Meranti, Hj. Nik Mat Alim Pulau Melaka, Hj. Abdul Mannan Sumatera, Hj. Abdul Wahid Melaka, Hj.Ahmad Perak dan Hj. Ayyub Kemboja. Putera-putera beliau sendiri pun tergolong alim ulama’ yang disegani. Antara tokoh-tokoh yang dimaksudkan ialah Hj. Nik Abdullah, Hj. Nik Mat Nazir, Hj. Nik Mud, Hj. Nik Leh dan Hj. Nik Mat Din. Pusaka lainnya ialah dua risalah terjemahan yang selesai disusun seawal 1906 lagi.

Mufti Haji Wan Musa kembali ke alam baka pada 3.00 petang Sabtu 24 Zulkaedah 1357 bertepatan 14 Januari 1939 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kg. Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu.

- Ismail Che Daud

No comments:

Post a Comment

My Video Gallery