Sunday, May 2, 2010

Ulamak Kelate - HAJI ALI PULAU PISANG (1899 – 1968)


Haji Ali Pulau Pisang (1899-1968)Salah seorang guru pondok pertengahan abad ke-20 yang paling ternama di Kelantan. Murid harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi ilmu tatabahasa Arabnya. Seangkatan dengan Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Awang lambor dan Haji Awang Serendah. Rakan akrab Ayah Chik @ Lebai Omar Kubang Tuman.

Nama penuh tokoh ulama’ kelahiran mukim Pulai Pisang, daerah Badang, Kota Bharu ini ialah Haji Mohd. Ali Solahuddin bin Awang. Ibunya bernama Wan Kalsom. Beliau adalah anak ketiga daripada 9 beradik.

Selain Tok Kenali, guru-guru tempatan lainnya termasuk juga Haji Abdul Malek Sungai Pinang, Haji Yusoff Sungai Pinang (kemudian lebih dikenali dengan nama Tok Pulai Ubi), Tok Kemuning (di Pulau Kundor), Haji Omar Sungai Keladi, Pak Chik Musa, Haji Yaakub Legor dan Haji Ahmad Hafiz.

Namanya “timbul” kerana kealimannya dengan ilmu soraf (cabang tatabahasa Arab) sehingga digelar “Tok Sibaweh”. Tidak hairanlah jika Madrasah al-Falah (nama rasmi Pondok Pulau Pisang) yang dibangunkan beliau di Telok Chekering, Pulau Pisang senang menjadi tarikan para pelajar pondok. Sementelahan pula seawal 1932 lagi, Haji Ali dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang dipengerusikan oleh Dato’ Haji Ahmad Maher al-Azhari (Mufti Kerajaan Kelantan).

Berikutan dengan kematian Haji Saad Kangkong (1943), beliau dipinjam sebagai guru agama Kelas Khas di Jami’ Merbau al-Ismaili (pusat pengajian ilmu-ilmu Islam berbentuk sekolah pertama di Kelantan) yang menampung ramai pelajar elit dari dalam dan luar Kelantan pada awal dekad 1940-an; berkhidmat sehingga 1 Mac 1946. Selepas itu kembali semula ke kampus Masjid Muhammadi.

Antara murid-murid jempolannya Dato’ Haji Ismail Yusoff (Mufti Kerajaan Kelantan), Ustaz Dato’ Yusoff Zaki Yaakub (pengarang terkemuka dan penterjemah Tafsir fi Zilal al-Quran, Ustaz Ismail Yusoff (Imam Waktu Masjid Muhammadi), Ustaz Wan Mohd. Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz Azhari Abdul Rahman Melor, Hj. Abdul Aziz dan Hj. Mustafa Pasir Tumboh, Hj. Zakaria Selising, Hj. Daud Geting, Hj. Daud Perakap, Hj. Nik Daud Tanah Merah, Hj.Wan Abdul latif Jerteh, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka), Hj. Abdul Rashid Bagan Datok Perak dan Hj. Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh (Kedah).

Ulama’ kesayangan Dato’ Mufti Haji Ahmad Maher ini kembali ke rahmatullah di kediamannya di Kg. Limau Putenge, Pulau Pisang pada pukul 7.05 pagi Khamis 11 Rejab 1388 bersamaan 3 Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah karya bercetak yang mengupas tentang ilmu soraf dan terjemahan Surah Yasin.

-Ismail Che Daud

No comments:

Post a Comment

My Video Gallery