Monday, April 26, 2010

Syeikh Mutawalli Sya'rawi


Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dilahirkan pada 15 April 1911 di Daqadus, daerah Mit Ghamir, Negeri Daqaliyyah, Mesir. Beliau tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 11 tahun. Pada tahun 1916, beliau telah memasuki Sekolah Rendah Zaqaziq dan berjaya memperolehi Sijil Sekolah Rendah pada tahun 1923 dan kemudiannya memasuki sekolah peringkat menengah. Beliau terkenal dengan seorang yang sukakan syair dan kesusasteraan Arab sehingga rakan-rakannya melantik beliau menjadi Ketua Persatuan Pelajar dan Ketua Persatuan Kesusasteraan di daerah Zaqaziq.

Syeikh Mutawalli mengambarkan kampungnya yang begitu indah dengan pemandangan, subur dengan tanaman hijau-hijauan di perlembahan Sungai. Nil. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Mutawalli al-Sya’rawi al-Husaini yang nasab keturunan bapanya sampai kepada Imam Husain bin Ali k.w.

Satu peristiwa yang terpenting dalam hidupnya yang berubah segala-galanya apabila keinginan bapanya untuk meminta beliau melanjutkan pelajaran ke al-Azhar di Kaherah sedangkan beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurutnya, tidak ada bagi seorang kanak-kanak cita-cita atau keinginan tertentu. Baginya hanya apa yang ada di sekeliling iaitu untuk menjadi petani dan bekerja di situ. Tetapi keinginan ayahnya yang inginkan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau telah tamat menghafaz al-Quran. Namun keinginan beliau untuk menjadi petani menjadikannya membuat berbagai helah agar tidak masuk ke Kolej al-Azhar. Beliau telah memasukkan habuk tanah ke dalam matanya agar menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan. Namun helah ini juga tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Helah kedua ialah gagap dan berbuat lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun guru tersebut tetap menerimanya sebagai pelajar. Helah ketiga ialah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Lalu dibeli oleh ayahnya. Apabila pulang ayahnya berkata : “ Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku lupa bahawa semua buku-buku tersebut bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silibus kamu tidak sampai 37 Qurus sahaja. Tetapi, wahai anakku, semoga Allah memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini.”
Antara buku-buku karangannya :

1. Tafsir al-Sya’rawi (Tafsir al-Sya’rawi)
2. al-Isra’ wa al-Mi’raj (Isra dan Mikraj) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Dinie Publihers
3. al-Islam wa al-Fikr al-Mu’asir (Islam dan Pemikiran Semasa )
4. al-Islam wa al-Mar’ah (Islam dan wanita)
5. al-Tariq ila Allah (Jalan Menuju Allah)
6. al-Fatawa (Fatwa-Fatwa)
7. Mu’jizat al-Qur’an (Mukjizat al-Quran) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Nasional)
8. Min Fayd al-Rahman (Dalam Limpahan al-Rahman) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Yasmeen)
9. al-Qada’ wa Qadar (Qada dan Qadar)
10. al-Salat wa Arkan al-Islam.(Solat dan Rukun-Rukun Islam)
11. Nazarat fi al-Qur’an (Pandangan-Pandangan al-Quran)
12. Hadha Huwa al-Islam (Inilah Islam)
13. al-Hayat wa al-Maut (Kehidupan dan Kematian)
14. Al-Taubat (Taubat)
15. al-zalim wa al-zalimun (Zalim dan orang-orang Zalim)
16. Sirah al-Nabawiyyah ( Sejarah Nabi Muhammad s.a.w.)

Dan masih lagi banyak lagi buku-buku beliau terutama dalam penafsiran al-Quran dan persoalan umat semasa.

No comments:

Post a Comment

My Video Gallery