TOK KENALI adalah nama cukup gah di Kelantan. Ulama kesayangan semua lapisan rakyat itu dianggap tiada tolok bandingnya dan kisah hidup beliau menjadi legenda hingga kini. Malah, kerana Tok Kenali yang dilahirkan pada 1870 itu juga, Kelantan yang dikenali sebagai tanah rendah sekebun bunga ini mendapat jolokan, Serambi Makkah.Nama sebenarnya, Muhammad Yusof Ahmad, tetapi dikenali sebagai Tok Kenali kerana dilahirkan di Kampung Kenali (kini Kubang Kerian), adalah tokoh pembaharuan pemikiran umat Islam dalam sistem pendidikan nusantara pada awal abad ke-20.Waris jauh Tok Kenali yang juga penyelidik sejarah hidup ulama itu, Abdullah al-Qari Salleh, berkata kegigihan mencari ilmu sejak muda, mendorong Tok Kenali ke Makkah dan Mesir meskipun berbekalkan RM22.Tok Kenali ke Makkah ketika usia 18 pada 1887 dengan kapal layar dari Kuala Besar dan belajar ilmu keduniaan serta akhirat sepanjang tempoh 20 tahun tinggal di tanah suci itu.Beliau ke Mesir dan berguru dengan muftinya, Syeikh Muhammad Abduh, yang terkenal sebagai ulama pembaharuan, pelopor gerakan Islah yang berjuang mengembalikan umat Islam kepada pegangan agama sebenar.Pengaruh Sheikh Muhammad Abduh terhadap Tok Kenali yang amat kuat mendorongnya menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada anak muridnya apabila kembali mengajar di Masjid Besar Muhammadi Kota Bharu yang ketika itu menjadi pusat pengajian penting di nusantara.Disebabkan minatnya yang mendalam, Tok Kenali sanggup berjalan kaki sejauh lima kilometer ke Kota Bharu, ketika itu dikenali sebagai Pulau Saba untuk belajar ilmu agama.Bagi memantapkan sistem pendidikan, Tok Kenali sedar bahawa pendidikan jasmani (PJ) tidak boleh diabaikan dalam sistem pendidikan pondok sebab akal yang sihat seharusnya berada dalam tubuh yang sihat.Oleh itu, beberapa kegiatan PJ diperkenalkan termasuklah berenang, menunggang kuda dan memanah, manakala kegiatan dalam rumah atau masjid ialah sembahyang sunat dan berjalan kaki ke masjid.Satu sifat istimewa Tok Kenali ialah beliau tidak pernah memarahi muridnya kerana kebodohan mereka sebab baginya setiap perkara ada penyakitnya dan penyakit ilmu ialah lupa.Baginya, penyakit lupa itu perlu dicari sebab atau punca, sama ada sifat fizikal (tubuh lemah, kurang tidur atau berpenyakit) , atau disebabkan kesibukan urusan harian dan gangguan syaitan (terutama dalam solat). Ini mampu diatasi dengan ilmu dan memohon bimbingan Allah.Abdullah berkata, bagi mendapatkan gambar Tok Kenali untuk tatapan generasi kini, bukanlah perkara mudah kerana sepanjang hayatnya, hanya tiga kali gambarnya dirakamkan dan itu pun dikatakan bukan atas kehendaknya.Tiga keping gambar Tok Kenali yang diabadikan dalam sejarah hidupnya itu, terdiri ketika beliau yang berserban bulat dirakam bersama Sultan Ismail dan pembesar negeri di Masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu.Gambarnya memakai serban bertingkat diambil bersama Dr Zaba (Zainal Abidin Ahmad - pendita Bahasa Melayu) dan kenamaan lain di perkarangan bangunan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).Gambar ketiganya, diambil bersama keluarga dalam sebuah studio di Kota Bharu. Malah, ada kisah mendakwa seorang Cina ingin menyimpan gambar itu, terpaksa membuat permintaan kepada Tok Kenali."Tuan Guru adalah ulama besar di Kelantan. Oleh itu, benarkan saya memiliki gambar Tuan Guru," minta lelaki Cina itu.Mendengar permintaan itu, Tok Kenali menjawab, "Saya boleh benarkan kamu menyimpan gambar saya tetapi kamu mesti jaga, tidak boleh sembah gambar saya seperti kamu sembah gambar lain".Walaupun bukan ahli politik, namun Tok Kenali juga mengikuti perkembangan dunia. Malah, secara peribadi, beberapa sifatnya menonjolkan keupayaannya sebagai pentadbir yang bijak berpolitikAntaranya ialah pada 1900, ketika kerajaan negeri mengadakan perjanjian dengan saudagar Inggeris, Robert William Duff, bagi pemajakan tanah di Hulu Kelantan.Ketika itu, saudagar terbabit menaikkan bendera 'Union Jack' di merata tempat sekitar Hulu Kelantan, namun hasil nasihat Tok Kenali kepada pemimpin negeri ketika itu, bendera penjajah itu diturunkan.Sebagai orang alim, ramai anak murid Tok Kenali mendakwa beliau seorang yang masin mulut dan perkara yang pernah diberitahunya akan terjadi seperti penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu.Beliau memberitahu muridnya, Jepun akan menyerang menerusi Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan ia berlaku pada 8 Disember 1941. Selain itu, beliau pernah berkata, bah besar akan melanda negeri ini dan pada 24 Disember 1926, bah Air Merah menenggelamkan Kelantan.Bandar Kubang Kerian pernah menjadi sebutannya dengan mengatakan bahawa Kampung Kenali akan menjadi besar dan anak cucu penduduk kampung itu akan menjadi orang besar-besar.Ia terbukti kini apabila Kubang Kerian menjadi bandar baru dengan bangunan tersergam indah termasuklah Masjid As-Sultan Ismail Petra dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).Namun, menjelang saat kematiannya, Tok Kenali menderita kesakitan pada kakinya yang berulat itu selama kira-kira dua bulan sebelum menghembus nafasnya terakhir pada 19 November 1933 ketika berusia 65 tahun.Bagi mengenang jasa beliau dan menghormatinya, banyak nama diabadikan dengan Kenali seperti Jambatan Tok Kenali, Jalan Tok Kenali, Akademi Kenali, Institut Kenali, Dewan Tok Kenali, Seri Kenali dan sebagainya.Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau sengaja mengabadikan sebuah jambatan dengan nama Tok Kenali untuk menarik minat generasi muda masa kini untuk menyelidiki kehebatan tokoh itu.
Info
# Nama sebenar, Muhamammad Yusof Ahmad
# Digelar Awang Kenali sebelum dikenali sebagai Tok Kenali.
# Dilahirkan pada 1870 di Kampung Kenali, Kubang Kerian.
# Meninggal dunia 19 November 1933.
# Isteri, Cik Ruqayyah Mahmud
# 4 anak, Ahmad, Muhd Shaalih, Mahmud dan Abdullah Zawaawi.
Jawatan Tok Kenali
1. Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan (7 Disember 1951- 19 November 1933)
2. Ketua Pelajaran Agama (Pengarah Bahagian Ilmu Agama. Bertanggungjawab memimpin Madrasah Muhammadiyyah dan penerbitan buku teks.
3. Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh (lidah rasmi Majlis Agama Islam Kelantan dikeluarkan setiap Isnin, dijual 10 sen senaskah)
4. Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
5. Pengasas Jamiyyah al-Ashriyyah - kumpulan ilmiah membincangkan isu agama dan semasa.
6. Penterjemah kitab dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu
7. Guru agama di Masjid Besar al-Muhammadi, Kota Bahru
8. Penasihat agama kepada Datuk Perdana Kelantan (Menteri Besar)
Al-Fatihah untuk Al-Marhum.
ReplyDelete