Wednesday, August 25, 2010

Muhaddits dunia melayu :Syeikh Mahfuz at-Tarmasi


Muhaddits dunia melayu ini bernama Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan bin Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi. lahir di Termas, Pacitan, Jawa Tengah, pada 12 Jamadilawal 1285 H/31 Ogos 1868 M, wafat di Mekah pada 1 Rajab 1338 H/20 Mac 1920 M.

Pendidikan

Mendapat pendidikan dari ayahnya sendiri, Syaikh Abdullah bin Abdul Mannan at-Tarmasi. Antara kitab yang dipelajari dari ayahandanya adalah Syarh al-Ghayah li Ibni Qasim al-Ghuzza, al-Minhaj al-Qawim, Fath al-Mu'in, Fath al-Wahhab, Syarh Syarqawi `ala al-Hikam dan sebahagian Tafsir al-Jalalain sehingga Surah Yunus. Seterusnya Syaikh Mahfuz melanjutkan pengajiannya ke Semarang dan belajar kepada Kiyai Muhammad Saleh Darat. Kitab-kitab yang dipelajari ialah Syarh al-Hikam (dua kali khatam), Tafsir al-Jalalain (dua kali khatam), Syarh al-Mardini dan Wasilah ath-Thullab, mengenai ilmu falak.

Setelah tamat pengajian di Semarang berkelana pula ke Mekah untuk menuntut ilmu. Dan ini adalah merupakan tradisi penuntut ilmu agama di Nusantara iaitu menamatkan pengajian mereka di Mekah. Antara guru-guru beliau di Mekah ialah:-

* Syaikh Ahmad al-Minsyawi yang dikenali sebagai Muqri kepada ulama ini, beliau belajar Qiraah `Ashim dan tajwid, sebahagian Syarh Ibni al-Qashih `ala asy-Syathibiyah (tidak sempat khatam).

* Syaikh `Umar bin Barakat asy-Syami, kitab yang dipelajari ialah Syarh Syuzur az-Zahab li Ibni Hisyam, kitab ini disusun oleh gurunya.

* Syaikh Mustafa al-'Afifi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Jam'il Jawami' lil Mahalli dan Mughni al-Labib.

* Sayyid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi, kitab yang dipelajari ialah Shahih al-Bukhari.

* Syaikh Muhammad Sa'id BaBashail, kitab yang dipelajari ialah Sunan Abu Daud. Sunan Tirmidhi dan Sunan Nasai.

* Sayyid Ahmad az-Zawawi, kitab yang dipelajari ialah Syarh `Uqud al- Juman, karangan gurunya itu, dan sebahagian kitab asy-Syifa' lil Qadhi al-'Iyadh. Syaikh Muhammad asy-Syarbaini ad-Dimyathi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Ibni al-Qashih, Syarh ad-Durrah al-Mudhi-ah, Syarh Thaibah an-Nasyr fi al-Qiraat al-'Asyar, ar-Raudh an-Nadhir lil Mutawalli, Syarh ar-Ra-iyah, Ithaf al-Basyar fi al-Qiraat al-Arba'ah al-'Asyar, dan Tafsir al-Baidhawi bi Hasyiyatihi

* Sayyid Muhammad Amin bin Ahmad Ridhwan al-Madani, kitab yang dipelajari ialah Dalail al-Khairat, al-Ahzab, al-Burdah, al-Awwaliyat al-'Ajluni dan Muwaththa' Imam Malik.

* Sayyid Abu Bakr bin Sayyid Muhammad asy-Syatha

* Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki,

* Syaikh Nawawi al-Bantani,


* Syaikh Ahmad al-Fathani


Antara shahabat-shahabatnya di Mekah

* Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (1283 H/1866 M - 1355 H/1936 M).
* Haji Abdullah Fahim (lahir 1286 H/ 1869 M), [gambar sebelah]
* Tok Kenali (lahir 1287 H/ 1871 M) dan ramai lagi ….


Penulisannya

Penulisannya, sekitar 20 judul atau lebih. Dan semua kitab yang ditulisnya adalah didalam bahasa ‘Arab. [Hebatkan ulama Melayu dulu! Maka tidak sewajarnyalah ada golongan sekarang yang melekehkan mereka. Bahkan ada yang menyarankan kitab-kitab mereka (kitab kuning) dibuang aja …. Begitulah biadabnya ilmuan sekarang …]

* As-Siqayatul Mardhiyah fi Asamil Kutubil Fiqhiyah li Ashabinas Syafi'iyah,
diselesaikan pada hari Jumaat, Syaaban 1313 H,

* Muhibah zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Ba Fadhal), kitab ini empat jilid dan tebal. Jilid pertama diselesaikan pada 25 Safar 1315 H, tebal 556 halaman. Jilid kedua diselesaikan pada hari Jumaat, 27 Rabiulakhir 1316 H, tebal 504 halaman. Jilid ketiga diselesaikan pada malam Ahad, 7 Rejab 1317 H, tebal 544 halaman. Jilid keempat, diselesaikan pada malam Rabu, 19 Jamadilakhir 1319 H, tebal 733 halaman.

Keseluruhan halaman jilid pertama sampai empat ialah 2437 halaman. Kandungannya membicarakan fikah lengkap berupa syarah dan hasyiyah dalam Mazhab Syafie yang dibahas secara mendalam, ilmiah dan terperinci. Kitab khazanah keilmuan yang demikian tinggi dihasilkan oleh putera dunia Melayu yang penting tersebut dicetak Mathba'ah al-'Amirah asy-Syarfiyah, Mesir, 1326 H. [Kitab inilah yang dijual di kedai kitab berhadapan dengan Dar al-Musthafa]

* Kifayatul Mustafid lima `ala minal Asanid, diselesaikan pada hari Selasa, 19 Safar 1320 H. Kandungannya membicarakan pelbagai sanad keilmuan Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Kitab ini ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani al-Makki, al-Mudarris Daril `Ulumid Diniyah, Mekah.

* Manhaj Zawin Nazhar fi Syarhi Manzhumati `Ilmil Atsar, diselesaikan pada tahun 1329 H/1911 M. Kandungannya membicarakan Ilmu Mushthalah Hadits merupakan Syarh Manzhumah `Ilmil Atsar karangan Imam Jalaluddin as-Suyuthi.

* Al-Minhatul Khairiyyah fi Arba’ina Hadiitsan min Ahaditsi Khair al-Bariyah. [alhamduliLlah kitab ini dihadiahkan oleh al-Fadhil Ustaz Azlan ‘Abdul Lathif kepada Abu Zahrah. Dan kitab ini sempat kami baca kepada beberapa orang syaikh ketika menziarahi mereka]

* Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah. Kandungannya juga membicarakan hadis merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadits Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqani. [alhamduliLlah kitab ini dihadiahkan oleh al-Fadhil Ustaz Azlan ‘Abdul Lathif kepada Abu Zahrah]

* Al- Badrul Munir fi Qira-ati Ibni Katsir.
* Tanwirus Shadr fi Qira-ati Ibni `Amr.
* Insyirahul Fawaid fi Qira-ati Hamzah.
* Ta'mimul Manafi' fi Qira-ati Nafi'.
* Al-Fawaidut Tarmasiyah fi Asamil Qira-ati `Asyariyah,
* Is'aful Mathali' Syarhul Badril Lami'.


Ulama melayu yang mahir di dalam pelbagai ini ilmu wafat di Mekah menjelang waktu Maghrib pada 1 Rajab 1338 H/20 Mac 1920 M. Semoga Allah merahmati ulama kita yang berjasa ini. [Tulisan ini adalah diambil dari tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir di dalam Utusan Malaysia]

p/s : Kitab Kifayah Al-Mustafid karangan Sheikh Mahfuz At-Tarmasi boleh didapati di sini:

http://www.almeshkat.net/books/open.php?cat=9&book=2978

Ia adalah kitab yang menghimpunkan sanad-sanad keilmuan beliau.

Semoga Allah s.w.t. memberkati beliau...

Amiin...

Sunday, August 1, 2010

Tok Ayah Der Sekam

Nama penuhnya ialah Syaikh 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin Utsman. Tokoh mutakhir Fathani Darus Salam (sehingga penghujung abad 20) yang paling banyak menulis. Lahir pada 1340H /1921M di Kampung Sekam. Memulakan pendidikan awalnya di Pondok Balur sebelum menyambung di Pondok Kubang Pasir dan kemudian di Pondok Pusan, Perigi. Setelah mengitari 3 buah pondok di Fathani, beliau pergi ke Kelantan dan berguru dengan Tuan Guru Haji 'Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payung yang masyhur itu. Selain daripada itu, beliau juga berguru dengan Tok - Tok Guru sekitar Kota Bahru seperti dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Muhammad Nur Penambang. Setelah itu, beliau menyambung pengajian di Makkah dan berguru di sana dengan Syaikh Ismail bin 'Abdul Qadir al-Fathani (Pak Da 'Eil) dan guru-guru bangsa 'Arab yang lain. Beliau berada di Makkah selama 5 tahun.

Apabila pulang ke pulang ke tanahairnya, beliau membuka pondok di Kampung Wakaf Budi, Sekam. Selama menjadi guru pondok, beliau terkenal sebagai seorang yang ahli dalam ilmu Ushul ('Aqidah). Ayah Dir menjadi pengasuh Pondoknya "al-Ma'had al-Islamiy" sehingga ke akhir hayatnya, kira-kira selama 35 tahun lamanya. Selama waktu ini, beliau berjaya muncul sebagai salah seorang ulama Fathani yang disegani. Kerana reputasinya yang sebegini, tidak hairan jika beliau dijemput menganggotai Lujnah Ulama Fathani oleh Majlis Agama Islam Fathani. Ayah Dir meninggal dunia pada pagi Khamis 18 Rabi`ul Awwal 1412 (26 September 1991).



Beliau rajin menulis dan mengarang kitab. Antara kitab karangannya ialah:-

  1. "Asasul I'tiqaad";
  2. "Taqribul Ikhwan fi ta'limi 'aqa-idul iman";
  3. "Tashiludh-Dhu`afa` wa radd ba'adh aqwal as-Sufaha`";
  4. "Ta'limul Awlad fi dzikri ba`adh ahwal al-'Ibad";
  5. 'Tadzkiratu li dzawil afkar fi ma yamurru bil insani minal a'maar";
  6. "Wasaailu 'ilmil kalam";
  7. "Risalah Minhaj Ahlis Sunnah";
  8. "Irsyadul Jawiyyin ila sabilil-ulama-il 'amiliin".

Kitab "Irsyadul Jawiyyin" (lihat gambar) mengandungi bahasan mengenai kesesatan dan kesilapan Wahhabi dan Ibnu 'Abdul. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu dan sekarang-sekarang.

Al-Fatihah untuk Ayah Dir Sekam al-Fathani dan guru-gurunya.







My Video Gallery